Covey VS saiful Islam…

SALAM…INI ADALAH SEBUAH ARTIKEL YANG SAYA PETIK DARI SAIFUL ISLAM DI DALAM LAMAN WEB NYE ( www.saifulislam.com )

          

             " 7 Habits of Highly Effective Muslim "

                                                                                                                           

AL-QURAN MEMBETULKAN PARADIGMA  ( Habits 1 )

Ketika membaca surah al-Ahzab (33) ayat 21, saya termenung.

“Sesungguhnya bagi kamu, pada diri Rasulullah s.a.w itu ada suri teladan yang baik (uswah hasanah)…”

Jelas sungguh keterangan ayat ini. Rasulullah s.a.w adalah contoh terbaik. Tetapi jika ayat ini begitu jelas, mengapa ramai yang salah faham terhadap Rasulullah s.a.w?

Ada

salah faham yang didiamkan, banyak pula sekarang ni yang disuarakan.

Lihat sahaja kepada peristiwa yang diriwayatkan oleh Muslim dan Abu Daud, ketika baginda s.a.w bertanya kepada Aisyah r.ah, “apakah ada makanan untuk dimakan?”. Aisyah menjawab, “tiada”. Maka baginda s.a.w bersabda, “jika begitu, maka hari ini aku berpuasa”.

Ya, jika Rasulullah s.a.w. itu suri teladan yang baik, teladan apakah yang boleh diambil dari sebuah rumah tangga yang seorang suami tidak dapat menyediakan makanan untuk dimasak oleh si isteri? Apakah rumah tangga ini yang layak menjadi contoh rumah tangga terbaik? Dalam konteks definisi “rumahku syurgaku” hari ini, saya yakin ramai yang gelisah untuk mengambil contoh dari rumah tangga yang dapurnya tidak berasap ini.

Gelisah…

Kegelisahan ini tambah sulit apabila ilmu sains politik hari ini mendesak agar kuasa menggubal undang-undang, kuasa melaksanakan undang-undang dan kuasa kehakiman, ketiga-tiga bidang kuasa ini mesti berasingan dan tidak boleh ada di tangan satu pihak atau individu. Jika tidak, pemerintahan semacam itu adalah pemerintahan diktator. Ya, jika definisi ini diterima sebagai definisi sebuah pemerintahan yang adil, maka adilkah pemerintahan Rasulullah s.a.w? Bagindalah yang ‘membuat undang-undang’, baginda jugalah yang melaksanakannya dan jika ada kesalahan dan perlanggaran akta, maka baginda jugalah hakim yang memutuskan hukuman, maka tidakkah ini contoh sebuah pemerintahan yang diktator?

Bahaya, bahaya…

Isu ini bukan saya reka untuk mengundang gelisah kita semua, tetapi sekurang-kurangnya kumpulan The Young Ottoman, anak-anak muda yang ‘dibiayai pengajian mereka oleh kerajaan’ Othmaniyyah pada kurun yang ke 19, sudah pun merasa gelisah dengan hal ini. Mereka balik sebagai saintis yang mempunyai idea sains, dan idea terhadap survival negara hasil Revolusi Perancis (1789 - 1799). Pada mereka Sultan Osmanli adalah diktator kerana mewarisi corak pemerintahan kuasa berpusat, yang diamalkan sebagai warisan pemerintahan Rasulullah s.a.w.

Ya, adakah contoh pemerintahan seperti ini, layak menjadi uswah hasanah bagi kita hari ini?

Jika mahu diselongkar keraguan masyarakat terhadap SUNNAH, jumlahnya berderet-deret. Malah banyak pula yang mengejutkan kita.

Seperti seruan Sisters in Islam kepada keperluan mentafsirkan semula al-Quran, dengan alasan mufassir klasik Islam semuanya lelaki belaka, sebab itu bias terhadap wanita! Aduh, hampir terkena serangan jantung saya dibuatnya. Semasa saya membaca Tafsir Ibn Katheer dan al-Thabari atau al-Qurthubi, tidak pernah terlintas di fikiran saya selama ini apakah jantina ahli tafsir itu. Apa yang dilihat adalah hujah, bukannya jantina. Tetapi hari ini ia jadi isu.

Jika isu ini tidak diselesaikan, susahlah agama mahu disebarkan kepada orang ramai. Bawakanlah sederet nas-nas yang sahih, semuanya disalah ertikan.

Mengapa?

Paradigma… cara berfikir, cara melihat sesuatu.

Maka keluarlah pepatah yang sering saya ulang, “what you see is what you get. Who you are determines how you see“. Apa yang kamu lihat, itu yang kamu dapat. Siapa kamu, menentukan bagaimana kamu melihat!

Di sinilah saya mahu berkongsi contoh, bagaimana al-Quran mengemukakan set pemikiran yang betul supaya Rasulullah s.a.w itu dinilai dari pandangan dan pemikiran yang betul. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu ada suri teladan yang baik. Iaitulah bagi orang yang (1) meletakkan harap (matlamat) hidupnya hanya kepada Allah, (2) meletakkan harap (ganjaran kerjanya) pada Akhirat, dan (3) secara konsisten berkekalan mengingati Allah sebanyak-banyaknya” [Al-Ahzab 33: 21]

Benar, tidak semua orang boleh menghargai Rasulullah s.a.w sebagai teladan yang baik. Perlu ada muqaddimah pada paradigma pemikirannya sebelum kehebatan dan kebaikan junjungan mulia s.a.w. dapat dihargai. Seorang yang boleh menghargai Rasulullah s.a.w. dalam kehidupan ini, perlulah berfikir dengan 3 asas pemikiran iaitu:

1. Hidupnya bermatlamatkan Allah.

Tujuannya Allah. Hidup untuk melaksanakan TUJUAN, akan bertolak ansur terhadap KEPERLUAN. Ukuran kejayaan rumah tangga di zaman Nabi s.a.w. bukanlah pada keupayaan suami memenuhkan peti ais dan memastikan 3 pinggan lauk terhidang setiap kali makan. Soal makan apa, tidak menjadi persoalan di zaman itu. Malah najis umat Islam di era itu tidak jauh beza dengan najis unta kerana makanan mereka tidak banyak berbeza! Sebab itulah, uswah hasanah rumah tangga Nabi s.a.w. tidak ada kena mengena dengan menu hidangan. Uswah hasanahnya adalah pada keelokan pergaulan dan layanan baginda s.a.w. kepada ahli keluarganya, adab dan sopan yang diamalkan dan senarainya panjang pada panduan Bait Muslim berasaskan SUNNAH.

2. Ganjaran amal adalah pada ganjaran Akhirat.

Fitrah manusia apabila bekerja, dia mengharapkan hasil dan ganjaran. Maka seorang yang boleh mengambil Rasulullah s.a.w. sebagai suri teladan yang baik, mengutamakan ganjaran Akhirat berbanding dunia. Tanpa Akhirat, kita lemah semangat untuk terus berbuat kebaikan tanpa mendapat sokongan, galakan dan pujian warga dunia. Walhal kita lupa, Allah SWT yang Maha Baik itu pun jarang disyukuri dan dihargai. Siapa sangatlah kita untuk kebaikan yang dilakukan mendapat pujian? Namun, sekecil-kecil kebaikan pun, akan diperlihatkan dan diberikan balasan kebaikan, pada sebuah kehidupan bernama Akhirat. Jika ini menjadi pertimbangan kita, maka barulah kita boleh menghargai saranan Nabi s.a.w. agar mengalihkan kayu dari menyakiti pejalan kaki di jalanan, senyum dan salam kepada insan yang ditemui, dan pelbagai benda ‘remeh temeh’ dan kecil halus itu. Ia besar, bagi sebuah penilaian Akhirat.

3. Berkekalan dan banyak mengingati Allah.

Seorang itu harus sentiasa hidup dalam keadaan sedar dirinya berTuhankan Allah. Dia melakukan setiap satu perkara, seolah-olah dia melihat Allah. Seumpama seorang yang menjawab soalan peperiksaan ketika mana guru subjek tersebut berdiri berpeluk tubuh di depan mejanya memerhatikan jawapan yang ditulis! Tentu kepala kuat memerah mencari jawapan terbaik. Tentu segera timbul rasa menyesal kerana tidak menbaca betul-betul. Tentu masa itu juga sudah siap terasa malu sebelum keputusan peperiksaan diumumkan. Atau sekurang-kurangnya merasa diri dilihat Allah. Inilah yang dimaksudkan sebagai “the consciousness of the Creator“, yang terhasil sebagai hikmah galakan basmalah pada setiap awal amal.

Jika watak-watak ini ada bagi seorang insan, nyata dan teranglah pada dirinya kehebatan dan keunggulan Sirah Rasulullah s.a.w. sebagai uswah hasanah, kerana pemikiran dan paradigmanya sama. MELIHAT KEHIDUPAN DARI PANDANGAN PENCIPTA KEHIDUPAN!

Dan al-Quran serta al-Sunnah banyak melakukan hal ini iaitu membetulkan cara berfikir sebagai muqaddimah Syariah.

Izinkan saya untuk menumpukan tulisan dan ceramah pada aspek ini, agar kehebatan Islam dan keagungan teks al-Quran dan al-Sunnah tidak disia-siakan oleh cara berfikir yang salah.

Atas titik itu, 7 Habits of Highly Effective Muslim saya mulakan dengan tajuk PARADIGMA dan PRINSIP KEHIDUPAN.

Leave a Reply